Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. - Seiring dengan keperluan semasa, usaha-usaha penambahbaikan dan pembaharuan Perkhidmatan Awam di bawah Civil Service Framework pada dasarnya adalah masih diteruskan dan ditambah baik.
Kini usaha-usaha sedemikian untuk meningkatkan keberkesanan dan prestasi perkhidmatan awam adalah diselaraskan melalui Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JTPA) sebagai sebuah platform utama dalam menerajui hala tuju dan pelaksanaan transformasi sektor awam negara.
Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Menurut Yang Berhormat, tema-tema di bawah Civil Service Framework adalah masih kekal relevan dan selaras dengan bidang-bidang utama transformasi Perkhidmatan Awam, antaranya ialah penekanan terhadap perkhidmatan yang lebih 'seamless' dan 'personalised, co-creation' melalui pendekatan awam, 'engagement' bersama pihak yang berkepentingan serta pembangunan dan kesejahteraan warga Perkhidmatan Awam yang 'future ready'.
Berhubung status pelaksanaan JTPA, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bahawa jawatankuasa telah pun menetapkan beberapa fokus ataupun bidang fokus antaranya Pertama : Keperluan melihat penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh berasaskan kitar hayat, 'life cycle' rakyat dan perniagaan. Kedua : Menilai semula keberkesanan inisiatif sedia ada termasuk sistem penilaian prestasi dan pembangunan kepimpinan.
“Ketiga : Mengenal pasti punca asas kelemahan dan penyampaian perkhidmatan. Keempat : Menambah baik peraturan dan proses kerja termasuk mempercepatkan pendigitalan. Dan Kelima : Memperkukuhkan kesejahteraan dan daya tahan penjawat awam.
“Pada masa ini Urus Setia JTPA sedang mengumpul data berkaitan keadaan semasa iaitu 'current state' untuk mengenal pasti jurang, cabaran serta isu-isu yang merentas agensi berkaitan dengan bidang-bidang utama transformasi Perkhidmatan Awam yang kaola sebutkan tadi," ujar Yang Berhormat.
Proses seterusnya pula terang Yang Berhormat, untuk menganalisis dapatan dan melaksanakan intervensi berdasarkan dan selaras dengan bidang-bidang utama transformasi Perkhidmatan Awam, antaranya ialah penekanan terhadap perkhidmatan yang lebih 'seamless' dan 'personalised, co-creation' melalui pendekatan awam, 'engagement' bersama pihak yang berkepentingan serta pembangunan dan kesejahteraan warga Perkhidmatan Awam yang 'future ready'.
Dalam hal ini, JPM melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, MSD menyokong usaha yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan, IBE bersama Kemajuan Lembaga Ekonomi Brunei (BEDB) melalui inisiatif proses 'review' ke atas proses-proses kerja sedia ada dan seterusnya mencadangkan penambahbaikan ke arah penghasilan proses 'end-to-end' yang lebih ringkas dan cekap.
Sehubungan itu, jelas Yang Berhormat, beberapa perkhidmatan berkaitan 'pro-business' telah dikenal pasti untuk diteliti dan seterusnya untuk ditambah baik kepada menghasilkan penyampaian perkhidmatan berkaitan 'pro-business' yang lebih mudah, efisien dan mesra pelanggan serta menyumbang kepada kemajuan pencapaian transformasi dalam Perkhidmatan Awam.